Friday 14 June 2013

Doa Versus Dosa: Mengapakah Doa Kita Tidak Termakbul?

Mengapakah doa-doa kita tidak memberi sebarang kesan dan tidak dimakbulkan? Dimanakah silapnya?Padahal kita berdoa dan meminta setiap hari.Sesungguhnya yakin dan percayalah bahawa Allah SWT telah berjanji tidak akan membiarkan dan menghampakan hambaNya yang memohon sesuatu dengan sepenuh hati kepadaNya.



Namun begitu seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah di Iraq.

 “Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT pada hal kami selalu berdoa?”

Ibrahim Adham menjawab, “Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”

Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikan hati?”.

Beliau menjawab, “Ada sepuluh perkara, iaitu:

1.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu tidak menunaikan hak-hak Allah. Kamu kenal Allah tetapi tidak memenuhi hak-hakNya yaitu untuk disembah.
2.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu tidak mengamalkan isi Al-Quran. Kamu senantiasa membaca Al-Quran tapi tidak kamu amalkan isi-isinya.
3.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu tidak mengamalkan sunnah Rasulullah. Kamu selalu bilang cinta kepada Rasulullah tapi kamu meninggalkan sunnahnya.
4.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu patuh kepada syaitan. Kamu mengakui bahwa syaitan itu musuh kamu tetapi kamu patuhi dia.
5.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu mencampakkan diri kamu ke jurang kebinasaan. Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka tapi kamu lemparkan dirimu sendiri ke dalamnya.
6.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, kamu ingin memasuki Syurga tapi kamu tidak melakukan amal soleh.
7.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu sedar kamu akan mati tetapi kamu tidak bersiap-siap untuk menghadapinya.
8.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu melihat cacat dan kekurangan orang lain, tetapi cacat dan kekurangan dirimu kamu tidak pernah melihatnya. Kamu sibuk memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain sedangkan keburukan dan kesalahan dirimu sendiri tidak pernah kau hiraukan.
9.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu merasakan kenikmatan yang diberikan Allah  tetapi kamu tidak bersyukur, bersyukur dengan mematuhi segala perintah Allah.
10.Bagaimanakah doa kamu dikabulkan oleh Allah, sedangkan kamu menguburkan jenazah orang lain tapi tidak menginsafi diri kamu sendiri bahwa kelak kamu juga akan dikuburkan.

Jika begitu, bagaimana mungkin Allah Ta’ala dapat mengkabulkan doa kamu?”
 .
Daripada sepuluh sebab itu, tersimpul satu sifat bahawa kebanyakan kita tidak menjalankan tugas sebagai hamba yang sebenar bagi Allah Ta’ala. Sewajarnyalah kita tidak mendapat apa yang dihajatkan dan tak memungkinkan setiap permintaan dikabulkan Allah SWT.
Marilah kita menjadi orang-orang yang sentiasa melakukan perintah Allah. Marilah kita berazam tidak mahu mengulangi segala perbuatan buruk kita. Insya Allah, segala doa kita akan diterima oleh Allah s.w.t

No comments:

Post a Comment