Friday 28 June 2013

Apakah Dosa Yang Tidak Akan Diampun?






Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah). 

Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. 
Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya.
Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.

Abu Said r.a. berkata: 

Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: Adakah mayat ini masih  menanggung hutang? 
Sahabat menjawab: ``Ya, Rasulullah''. 

Baginda bertanya: Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya? Jawab sahabat: ``Tidak.'' 

Lalu baginda bersabda: Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu. Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. 

Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: ``Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya.'' Sesudah itu baginda segera maju untuk menyembahyangkan jenazah sambil berkata kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api 
neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. 

Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat 
kelak. 


Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
 
Barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? 

Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang. 

Wallahualam..Semoga memberi manfaat.




No comments:

Post a Comment