Tuesday, 18 June 2013

Bacalah Al-Quran.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat. Orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya. Orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, dia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali." (HR Bukhari)



Allah berfirman: "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu (Al Qur'an) dengan perintah Kami. Sebelummnya kamu tidaklah mengetahui apakah Al Kitab (Al Qur'an) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan Al Qur'an itu cahaya, yang Kami tunjuki dengannya siapa yang kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami". (Surah Asy Syuura ayat 52)

Allah berfirman: "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, apabila disebut (nama) Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Allah lah mereka bertawakkal." (Surah Al Anfaal ayat 2)

Allah berfirman: "Dan apabila dibacakan Al Qur'an, maka dengarkanlah dengan baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat". (Surah Al A'raaf ayat 204)

Abdullah bin Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi alif adalah satu huruf, lam adalah satu huruf dan mim adalah satu huruf.” (HR Tirmizi)

Dari Abu Umamah Al-bahili ra, dia berkata, saya mendengar Rasulullah saw bersabda, "Bacalah Al Qur'an kerana pada hari kiamat nanti Al Qur'an akan memberikan syafaƔt kepada para pembacanya." (HR Muslim)


InsyaAllah semoga beroleh manfaat. 

Monday, 17 June 2013

Hendak Khusyuk Dalam Solat Tapi Bagaimana?

Khusyuk ialah hati sentiasa hidup, manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam solat. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu solat. Hakikat zahirnya pula adalah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, rukuk, sujud, duduk dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Melihat kepada kepentingan khusyuk dalam solat, maka dikemukakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh diguna-pakai sebagai panduan ke arah perlaksanaan ibadat solat yang khusyuk.
Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar solat, sebelum seorang itu mendirikan solat.



1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.


2. Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.


3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik , berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya. Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu terhadap Allah s.w.t. dan rasa takut kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin kepada Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat, merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.

15.Elakkan memakai pakaian yang ada gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. 

InsyaAllah..semoga bermanfaat untuk semua..

Betulkah Kita Khusyuk Dalam Solat?

IMAM AL-GHAZALI menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.


 Anda Tahu Makna Bacaan Dalam Solat??

Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud:

"Tuhan yang memiliki hari Akhirat."

Maka tergambar segala kalut sibuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Masyhar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah SWT.

Apabila membaca ayat kelima dari surah Al-Fatihah yang bermaksud :

"Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon."

Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah SWT semata-mata.

Lalaikah Kita Dalam Solat??

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya. "

Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui sembahyang itu.

Firman Allah yang bermaksud :

"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah al-Ma'un : ayat 4-5]

Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud :
"Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."

Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT. Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk lansung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.

Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.

Dan ketahuilah, solat adalah ibadah utama yang akan dihisab terlebih dahulu di akhirat oleh Allah SWT, berbanding dengan amalan-amalan yang lain. Sekiranya solat seseorang itu dalam keadaan sempurna, maka barulah dihitung pula amalan yang lain.

Wallahu ta'ala a'lam.......