Friday, 28 June 2013

Apakah Dosa Yang Tidak Akan Diampun?






Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah). 

Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. 
Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya.
Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.

Abu Said r.a. berkata: 

Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: Adakah mayat ini masih  menanggung hutang? 
Sahabat menjawab: ``Ya, Rasulullah''. 

Baginda bertanya: Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya? Jawab sahabat: ``Tidak.'' 

Lalu baginda bersabda: Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu. Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. 

Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: ``Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya.'' Sesudah itu baginda segera maju untuk menyembahyangkan jenazah sambil berkata kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api 
neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. 

Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat 
kelak. 


Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: 
 
Barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? 

Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang. 

Wallahualam..Semoga memberi manfaat.




Oh Wanita..Mudahnya Jihad Untukmu..

Daripada Aishah r.a. katanya, aku berkata, Ya Rasulullah, kita mengetahui bahawa jihad adalah sebaik-baik amalan. Oleh itu apakah kami kaum wanita tidak boleh ikut berjihad? Baginda terus menjawab: Bagi kamu semua (kaum wanita) jihad yang paling baik ialah mengerjakan haji dan mendapatkan haji mabrur.


Haji juga disebut oleh Rasulullah SAW sebagai ibadah yang darjatnya sama dengan jihad fi sabilillah, kerana apabila seseorang itu mati sewaktu menunaikan ibadah haji, matinya itu tergolong seperti mati syahid.
 Rasulullah SAW bersabda: " Jihad orang yang tua, lemah dan wanita ialah menunaikan haji" (an-Nasa'i). Oleh itu setiap muslim harus menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya sebagaimana ibadah-ibadah lainnya iaitu ia mestilah disertai dengan hati yang ikhlas kerana Allah dan dalam rangka memperoleh keredhaan-Nya.



Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Ath-Thabrani, pada suatu hari seorang wanita bernama Zainab yang bergelar Khatibatin-nisa’datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata:

“Aku telah diutus oleh kaum wanita kepada engkau. Jihad yang diwajibkan oleh Allah ke atas kaum lelaki itu, jika mereka luka parah, mereka mendapat pahala. Dan jika mereka gugur pula, mereka hidup disisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. Manakala kami kaum wanita, sering membantu mereka. Maka apakah pula balasan kami untuk semua itu?”

Bersabda Rasulullah SAW:
"Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi adalah sangat sedikit sekali daripada golongan kamu yang dapat melakukan demikian."
 
Pada ketika yang lain, Rasulullah SAW pernah ditanya: “Wahai Rasulullah, perempuan manakah yang baik?”
Baginda menjawab: “Perempuan yang menggembirakan suaminya apabila si suami memandangnya, mentaati suami apabila diperintah dan tidak menyalahi suaminya baik mengenai diri peribadinya, harta kekayaannya atau dengan apa yang dibenci oleh suaminya.” 

Pada dasarnya, kaum wanita disamakan dengan kaum lelaki dalam tanggungjawab agama sama ada mengenai aqidah, ibadah dan muamalah, kecuali tanggungjawab yang khusus yang sesuai dengan fitrah kaum wanita. Begitu juga dengan tanggungjawab jihad yang diwajibkan kepada kaum lelaki tidak diwajibkan kepada kaum wanita.

Seandainya kaum wanita berupaya pergi bersama-sama kaum lelaki ke medan pertempuran, tidaklah ditolak oleh Islam. Bagaimanapun tugas ini hanya dianggap sebagai sumbangan tambahan.Kita perlu jelas jihad yang paling utama dan dituntut kepada setiap wanita ialah taat kepada suami dan mengakui hak suami, manakala jihad di luar rumah adalah sumbangan tambahan bagi mereka yang berbuat demikian.


Sudut-sudut jihad wanita
 
1.     Menjadikan rumahtangga tempat yang bahagia untuk keluarga berkumpul.

2.     Mewujudkan suasana Islam dalam proses pendidikan dan pembesaran anak-anak.

3.     Menyempurnakan segala urusan rumah tangga menurut syara’ dengan penuh
keikhlasan semoga akan beroleh keberkatan.

4.     Mengajak kaum wanita lain memahami prinsip-prinsip Islam dan cara hidup yang Allah tetapkan.

5.     Memerangi perkara-perkara bid’ah, khurafat serta pemikiran yang salah dan adab-adab yang buruk yang mengusai wanita masa kini.

6.     Menyertai rancangan kemasyarakatan yang berfaaedah untuk umat manusia amnya, seperti tadika, menjaga anak-anak yatim, kelab pemudi, sekolah-sekolah dan bantuan untuk keluarga miskin.

Sebagai kesimpulan, sekali lagi perlu dijelaskan dalam diri kita bahawa jihad yang utama bagi wanita adalah wajib bagi semua muslimah dalam batas kemampuan yang telah Allah kurniakan. Manakala jihad tambahan yang Allah anugerahkan bersama keistimewaan tertentu tidak boleh membatalkan jihad yang utama. Jihad utama mesti dilaksanakan dahulu.

Saturday, 22 June 2013

Haram Merokok : Apakah Pandangan Ulama?





Para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukum berdasarkan berbezanya tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil daripada rokok. 
Ada sesetengah ulama berpendapat bahawa hukum merokok itu adalah haram. Mereka berpendapat bahawa segala yang membawa kepada kebinasaan wajib kepada muslim menghindarinya dan haram mengamalkannya. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Ibnu Majah iaitu :-

Maksudnya : “Tiada bahaya dan tiada membahayakan”.


Allah S.W.T juga berfirman di dalam Al-Quran dalam surah Al-Baqarah ayat 195 iaitu :

Maksud-Nya : Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, Karena Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.


Sebelum ini telah dijelaskan bahawa tabiat merokok itu sememangnya memberi kesan yang negatif terhadap fizikal dan mental manusia. Pada tahun 1964 Fakulti Kedoktoran Amerika telah mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut "Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti, ia juga menyebut "rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh". Allah S.W.T menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu ilmu sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Furqan dalam ayat 59.

Maksud-Nya : Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, Kemudian dia bersemayam di atas Arsy , (Dialah) yang Maha pemurah, Maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia.

Justeru, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa. Selain itu juga, ada sesetengah ulama terdahulu yang menghukumkan merokok itu harus atau makruh. Pendapat ini boleh diuzurkan kerana pada itu ilmu kedoktoran belum lagi menyingkap bahaya-bahaya dan kesan-kesan merokok pada jiwa dan jasmani. Maka setelah dibongkar kesan dan bahaya merokok ini oleh pakar-pakar kesihatan, maka hukum merokok yang harus dan makruh ini ditolak dan menjadi merokok itu hukumnya adalah haram. 


Fatwa Kebangsaan


Ini pula pandangan Ustaz Zaharuddin:

Justeru, pada hemat dan kajian saya, hukum yang lebih tepat adalah Haram merokok kerana mudarat yang pelbagai dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain, dan baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut : "Ad-Darar Yudfa' Bi Qadaril Imkan" ; ertinya : "Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan" (Al-Madkhal Al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992)
Cuma Syeikh Al-Qaradawi di dalam Fatawanya (Fatawa muasiroh, 1/667) menjelaskan hukumnya berkata ( dengan pindaan ) :-

a- Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Perlulah ia menghalang dari menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

b- Walaupun ianya haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar. Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Shariah, ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa hasil rokok bolehlah di katakan termasuk dalam dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan Al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum merokok, dan makruh bagi seisap yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar darinya. Apa yang pasti, segala jenis usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari segera. Wallahu a'lam.
Zaharuddin Abd Rahman
22 Januari 2007 



Jom cuba dapatkan Panduan Berhenti Merokok Dalam Masa 3 Minggu ini..mana tahu boleh berhenti merokok..InsyaAllah..Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih..